Monday, October 11, 2010

Cara Pembiakan Pokok


Cara pembiakan pokok dibahagikan kepada dua cara :

1. Pembiakan vegetatif (tampang)
2. Pembiakan biji benih


Pembiakan Vegetatif
Pembiakan vegetatif adalah cara membiakkan pokok dengan menggunakan bahagian-bahagian tertentu pokok seperti batang, dahan, ranting, akar dan lain-lain bagi mendapatkan bilangan pokok yang banyak dan sama jenisnya. Pembiakan ini juga disebut pembiakan tidak mengawan atau pembiakan yang tidak ada hubungannya dengan jantina.

Pembiakan vegetatif perlu dilakukan pada pokok yang tidak mengeluarkan biji benih atau biji benih yang sukar didapati seperti bunga raya, pokok sukun dan lain-lain.

Adakalanya pembiakan cara ini lebih senang dilakukan dan dapat menghasilkan bilangan anak pokok yang banyak serta tulen bakanya. Selain itu, pembiakan vegetatif juga boleh memendekkan tempoh juvenil pokok, dengan ini bunga dan buah boleh didapati dalam tempoh yang singkat.

Kelemahannya adalah pokok-pokok yang dihasilkan tidak mempunyai akar tunjang, akarnya tidak banyak, diriannya tidak tegap dan pembesarannya juga terhad. Sebaliknya, jika pokok-pokok itu dikehendaki dalam keadaan yang kecil, seperti untuk tanaman pasuan, pembiakan cara vegetatif ini adalah yang baik dan memberi faedah yang besar.

Pembiakan vegetatif boleh dibahagikan kepada beberapa cara iaitu :
1. Keratan
2. Tut
3. Cantuman
4. Belahan rumpun atau perdu
5. Bebawang
6. Tisu kultur


sumber : Bunga-bungaan Malaysia, UKM, 2001


No comments:

Post a Comment

Sudi-sudilah meninggalkan pesanan...