Sunday, May 9, 2010

Pokok Cengal Terbesar


Pokok Cengal Terbesar - The Malaysian Book of Records

Nama Spesies : 'Cengal', Neobalanocarpus heimii
Ukuran : 1,675 cm lilitan dan 65 meter tinggi
Tempat Dijumpai : Kompartmen 5, Hutan Simpan Pasir Raja, Dungun Terengganu

Pokok cengal terbesar dan berusia kira-kira 1,300 tahun ini ditemui di Hutan Simpan Pasir Raja, Hulu Dungun pada 1999 oleh Pegawai Renjer Durian Mas II, Encik Omar Mohamad.

Pokok tersebut yang berdiri setinggi 65 meter dan ukur lilitnya 16.75 meter, atau kira-kira 13 pemeluk, serta bergaris pusat 5.32 meter memerlukan 27 buah lori bagi mengangkut kayunya jika ditebang. Isipadu pokok cengal ini dianggarkan 220m3 dengan keberatan 120 tan metrik.

Usia pokok tertua ini dianggarkan 1,300 tahun iatu berdasarkan kaedah pengiraan pokok di kawasan tropika mengikut pertumbuhan gegelang (growth ring) pada kadar 0.4sm setahun.

Pokok yang terletak lebih kurang 200 meter dari sempadan Taman Negara dan 390 meter dari paras laut di kawasan Kompartmen 5 hutan ini, telah menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai pokok terbesar di Semenanjung Malaysia dan didokumenkan dalam keluaran edisi ketiga pada tahun 2001.

Pokok cengal kedua terbesar pula terletak dalam kompartmen 4, Hutan Simpan Pasir Raja dan dianggarkan ketinggian 45 meter dengan ukuran lilitan 10.75 meter.

Cengal atau nama saintifiknya 'Neobalanocarpus-heimii' adalah kayu keras popular di negara ini. Kawasan taburan semula jadi terhad di Semenanjung Malaysia, Thailand iaitu Selatan Pattani dan di Indonesia.

Pokok cengal dikenali sebagai cengai di Perak, manakala di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang Barat dikenali sebagai penak. Thailand pula mempunyai pelbagai nama iaitu thakian-cha, takhian-chantamaeo dan chi-ngamat.

Di Malaysia, pokok cengal tumbuh di kawasan hutan tanah pamah yang mempunyai ketinggian kurang dari 1,000 meter terutama di kawasan yang mempunyai saliran air yang baik.

Kebiasaannya pokok cengal hidup dengan baik di kawasan yang menerima hujan lebih dari 2,000 milimeter setahun dan tiada musim kemarau yang panjang.

Pokok cengal menghasilkan kayu terbaik dan mencapai harga tertinggi di pasaran jika dibandingkan dengan jenis kayu lain dan tergolong dalam keluarga 'Dipterocarpacease' iaitu sejenis pokok menghasilkan buah yang mempunyai sepasang sayap serta mengeluarkan resin atau damar.

Kayu cengal adalah kayu keras yang tahan lama dan mempunyai ketumpatan antara 915 hingga 980 kilogram per meter padu yang kebiasaannya digunakan dalam kerja pembinaan berat terutama pembinaan bot, selain dijadikan tiang, serta jambatan tanpa perlu diawet kerana ia tahan dari serangan anai-anai.

Ketahanan kayu itu disebabkan terdapat sejenis bahan awet semula jadi yang melindungi kayu teras. Kayu gubal, teras serta kulit pokok cengal mempunyai sejenis damar yang dikenali sebagai damar penak dan boleh digunakan dalam pembuatan barnis.

1 comment:

  1. Assalamu`alaikum,

    Memang menakjubkan kejdian Allah ni. Semoga labih banyak lagi keajaiban hutan MAlaysia akan dapat ditemui.

    Wassalam.

    ReplyDelete

Sudi-sudilah meninggalkan pesanan...